entri #11: Dunia Tanpa Judul

     Dunia ini tampak berbeza dari mata setiap orang. Bagi seorang yang mempunyai hidup yang sempurna, dunia ini amatlah cantik dan indah. Bagi seorang yang tidak mempunyai hidup yang tenang, dunia ini seolah-olah sedang menjatuhkan dia. Dan bagi seorang yang sedang berusaha, bertungkus-lumus untuk menjadikan hidupnya lebih baik, dunia ini kelihatan susah untuk didiami.

  Namun, apa yang membezakan seseorang individu dari individu yang lain? Apa yang membuatkan individu tersebut untuk meneruskan hidup, walaupun di bibir mereka hanya mengandungi keluhan? Bagi saya, jawapannya subjektif. Tiada jawapan yang betul atau salah. Ianya bergantung kepada individu. Ianya bergantung kepada hati individu.

  Dunia ini adalah tanpa judul. Apabila kita membaca buku, kita membaca judulnya dahulu sebelum membuka dan membelek muka suratnya, bukan? Dari situ kita dapat gambaran apa yang bakal berlaku dalam buku tersebut. Namun, realiti bukan transparen. Realiti bukan plot novel dan ia sememangnya bukan mudah untuk difahami.

  Realitinya, setiap orang mempunyai cerita hidup masing-masing. Semua orang adalah berbeza. Hidup juga berbeza. Seorang anak kecil mungkin kehilangan keluarganya akibat peperangan sedangkan kita di sini menikmati waktu bersama ibu bapa; seorang anak muda mungkin sedang mempertahankan nyawa atas meja pembedahan sedangkan kita yang sihat wal-afiat sedang menikmati makanan bersama-sama kawan-kawan, bergelak ketawa dan bergurau senda. Hidup berbeza.

  Bersyukur. Bersyukur. Bersyukur. 

  Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Setiap yang berlaku dalam kehidupan kita ada pengajarannya. Dan pengajaran inilah yang akan membentuk personaliti dan cara kita memandang dunia. Setiap pandangan yang kita utarakan secara tidak langsung datang dari pengalaman yang kita alami. Ia mematangkan kita. Ia mengingatkan kita bahawa jika kita hendakkan sesuatu, usaha itu perlu. Usaha itu kunci kejayaan. 

  Dunia ini tanpa judul. Ciptalah judul sendiri selari dengan kehidupan yang diingini.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

entri #2: "Ibu Yang Kusayang" Sharifah Hasnah Abdullah

entri #1: Masyarakat Minda Kelas Ketiga

entri #12: Guru Oh Guru